Thursday 20 December 2012

SAJAK USMAN AWANG


Guru Oh Guru
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

PANTUN MELAYU


KOLEKSI PANTUN MELAYU KLASIK


Tetak buluh panjang suluh 
Mari jolok sarang penyengat 
Angkat doa jari sepuluh 
Doa minta biar selamat 

Tuailah padi antara masak 
Esok jangan layu-layuan 
Intailah kami antara nampak 
Esok jangan rindu-rinduan 

Hendak dulang diberi dulang 
Dulang berisi sagu mentah 
Hendak pulang ku beri pulang 
Tinggalkan pantun barang sepatah 

Lancang kuning lancang pusaka 
Nampak dari Tanjung Puan 
Kalau kering laut Melaka 
Barulah saya lupakan tuan 

Asam kandis mari dihiris 
Manis sekali rasa isinya 
Dilihat manis dipandang manis 
Lebih manis hati budinya 

Ayam hutan terbang ke hutan 
Tali tersangkut pagar berduri 
Adik bukan saudara bukan 
Hati tersangkut kerana budi 

Ayam rintik di pinggir hutan 
Nampak dari tepi telaga 
Nama yang baik jadi ingatan 
Seribu tahun terkenang juga 

Bila memandang ke muka laut 
Nampak sampan mudik ke hulu 
Bila terkenang mulut menyebut 
Budi yang baik ingat selalu 

Kata-kata ulama/Madah Pujangga

Pahitnya Mata Dunia
Kerana Manisnya Syurga Tuhan

Kebahagiaan tertunda yang dibayar dengan pengorbanan selalunya terasa manis. Tidak ada satupun di dunia ini hasil karya sendiri. Anda mencapai tujuan anda selalunya berkat bantuan orang lain.

Seorang sufi bermadah,"Adakalanya kesalahan membuatkan sesaorang itu memperbaiki diri. Tidak pernah bersalah itu..... boleh mendatangkan sombong diri.. oleh itu tidakkah beruntung mencuba biarpun terpaksa berbuat salah daripada pasrah yang tidak menentu"

Ulamak mursyid berkata,"Buah akal ialah ilmu pengetahuan.. buah jiwa ialah iman.. buah fizikal ialah kemajuan.. alangkah indahnya kalau ketiga tiga anggota ini melahirkan buah dalam kehidupan".

Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Perumpamaan orang mukmin dalam hal saling mencintai.. saling mengasihi dan saling menyayang bagaikan sebuah tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh terasa sakit.. maka seluruh tubuh akan merasa sakit.. tidak dapat tidur dan terasa demam".

 Kalau hati itu bersih.
Seorang ulamak berkata,
"Pandangan mata selalu menimpa..pandangan akal selalu tersalah.. pandangan nafsu selalu melulu dan pandangan hati lah yang hakiki.. kalau hati itu bersih".

Pohon syurga.
Rasulullah s.a.w bersabda,"Sesungguhnya di dalam syurga ada sebatang pohon dimana orang berkenderaan berjalan dibawah naungannya selama satu tahun belum sampai melepasinya".

Kejelitaan akan pudar.
Seorang ulamak berkata,
"Kemudaan akan hilang.. kecantikan akan pudar.. kekuatan akan lemah..tua akan datang.. kematian pun meragut secara tiba tiba. Jadi mengapa lupakan Tuhan??".

Mata yang beku.
Rasulullah bersabda,"Ada empat perkara yang membawa celaka..iaitu mata yang beku{taksudi mengeluarkan air mata) kesat hati.. panjang angan-angan dan tergoda oleh dunia".   
                                                                                   
Jika engkau mahukan kemesraan.
Seorang bijak pandai Islam berkata,

"Jika engkau mahukan kemesraan dengan Allah.. maka engkau mesti garang terhadap dirimu sendiri.. tidak mengikut segala nafsumu. Kalau engkau sudah merasakan manisnya berhubung dengan Allah.. tahulah engkau bagaimana pahitnya berpisah denganNYA".

Jangan cakap banyak.
Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Tinggalkan bicara berlebehan dan cukup bagimu perkataan apa yang telah dapat menyampaikan hajatmu".

Kata pemikir Islam, "Gunong yang tinggi tidak boleh menakung air.. tetapi lembah yang rendah boleh menjadi tasik yang saujana luasnya....... ertinya orang yang meninggi diri tidak jatuh hati orang kepadanya.. Sebaliknya orang yang merendah diri dapat meminta meminta hati orang tanpa bersusah payah lagi".

Belajar dengan buku.
Seorang ulama berkata,"Orang yang belajar dengan kehidupan mendapat pengalaman ..orang yang belajar dengan buku dan guru mendapat ilmu".



Fikiran bak mutiara.
Seorang ulama berkata,"Berfikir taraf tinggi itu ialah berfikir yang dipimpin oleh jiwa.. hasilnya fikirannya bak mutiara".


Istimewa diam. 
Nabi s.a.w. bersabda,
"Kawan yang baik lebih baik dari duduk sendiri dan duduk sendirian lebih baik dari kawan yang jahat dan mengutarakan kebaikkan lebih baik dari diam dan diam lebih baik dari berkata tidak baik". 


Jika Allah kasih.
Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Sesungguhnya jika Allah berkehendakkan kebaikan terhadap hambaNya, maka dijadikan dosa dosa terbayang diruang mata hambaNya dan jika menghendaki binasanya maka dilupakan akan dosa dosanya".

Tuesday 11 December 2012

SURAT KIRIMAN RASMI

Ciri-Ciri Surat Kiriman Rasmi

Karangan surat kiriman rasmi mempunyai format yang khusus seperti berikut:
a) Alamat pengirim - ditulis di bahagian atas, di penjuru sebelah kiri surat
b) Garis pemisah antara nama dan alamat pengirim, dengan bahagian lain surat
c) Nama dan alamat penerima ditulis di bawah garisan pemisah di sebelah kiri surat.
d) Tarikh - ditulis dengan huruf besar di sebelah kanan surat.
e) Panggilan hormat penerima seperti tuan,puan dan sebagainya, ditulis di sebelah kiri surat.
f) Tajuk Surat
g)Isi surat
h)Penutup
i) Pengakuan dan tandatangan - ditulis selang sebaris di bahagian bawah penjuru sebelah kiri surat

Contoh Surat  Rasmi

No. 14, Jalan Jaya 1/10,
Taman pagoh Jaya,
48600 Pagoh, Muar,
Johor.

____________________________________________________________________

Guru Penasihat,
Kelab Kebudayaan Dan Kesenian,
Sekolah kebangsaan Pekan Pagoh,
48600, Pagoh,
Muar, Johor                                                                                                         20 OGOS 2012

Puan,

Tidak Hadir Ke Kegiatan Kokurikulum

Dengan hormatnya perkara di atas dirujuk,

2.  Saya ingin memaklumkan kepada pihak puan bahawa saya tidak dapat menghadiri kegiatan kokurikulum yang akan diadakan pada 25hb Ogos ini kerana ingin ke Pejabat Pendaftaran Negara bagi memohon MyKad.

3.  Segala maklumat mengenai aktiviti yang dijalankan oleh persatuan pada hari tersebut akan saya dapatkan daripada ahli-ahli persatuan yang hadir.

4.  Saya berharap agar puan dapat mempertimbangkan dengan sewajarnya akan perkara ini

Sekian, terima kasih.

Yang benar,


Faris Mirza

(Muhammad Faris Mirza b. Adnan)
Ahli Kelab Kebudayaan Dan Kesenian

Tuesday 4 December 2012

KARANGAN JENIS CERITA

Karangan jenis cerita boleh ditulis berdasarkan khayalan, mimpi, pengalaman, ataupun kehidupan makhluk lain. cerita yang hendak disampaikan hendaklah mempunyai gambaran yang jelas dan diterima akal.
         Karangan yang ditulis juga hendaklah mempunyai nilai-nilai murni dan tidak boleh mempunyai unsur-unsur negatif.

KARANGAN JENIS CERITA


  MELAWAT MUZIUM NEGARA

           Pada hari Ahad yang lalu, saya dan rakan-rakan diiringi empat orang guru dari Sekolah Kebangsaan Semaseh telah melawat ke Muzium Negara. Kami bertolak pada pukul 8.00 pagi dengan menaiki sebuah bas.
          Saya dan rakan-rakan berasa gembira kerana kami dapat melihat pelbagai jenis barang yang dipamerkan di muzium ini.
          Setelah melawat beberapa bahagian di muzium ini, kami sampai di bahagian yang menunjukkan barangan purba dan bersejarah.
          Barangan-barangan yang dipamerkan disini menggambarkan perkembangan tamadun negara kita sejak zaman batu hingga sekarang.
          Di bahagian ini juga terletaknya arca Hang Tuah. Arca itu dibuat pada tahun 1962 oleh Puan Jenkins, seorang perempuan berbangsa Inggeris yang pernah bertugas di muzium ini.
          Kami bertolak pulang pada jam 5.00 petang. Lawatan ini banyak faedah kepada kami, termasuk pendedahan tentang sejarah perkembangan negara.

KARANGAN JENIS BIOGRAFI

          Karangan biografi menceritakan rentetan riwayat hidup manusia atau latar belakang seseorang yang ditulis oleh orang lain. Orang tersebut boleh menjadi seseorang tokoh yang masih hidup atau sudah meninggal dunia atau orang yang anda kenali.
          Latar belakang seseorang yang hendak ditulis biografinya sepatutnya anda kenali.

KARANGAN JENIS BIOGRAFI

                                                                P. RAMLE
          
          P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Putih dilahirkan di Kampung Jawa Pulau Pinang pada 21 Mac 1928. Ayahnya seorang keturunan bangsawan Acheh, Sumatra. Ibunya bernama Mak Mah.
          Nama P.Ramlee memang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Walaupun beliau sudah meninggal dunia pada tahun 1973, namanya selalu disebut dan dipuji oleh peminat seni.
          Sehingga kini, filemnya masih ditayangkan di televisyen dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Bakat P.Ramlee dalam bidang nyanyian dan muzik bermula sejak di bangku sekolah lagi. Pada waktu itu, beliau masih menuntut di Sekolah Inggeris Francis Light, Jalan Perak, Pulau Pinanag.
          P.Ramlee juga pernah belajar menyanyi dengan seorang ahli muzik yang sangat terkenal, iaitu Encik Kamarudin. Beliau berbakat dalam bermain piano dan biola.
          Sumbangan P.Ramlee dalam bidang seni lakonan dan muzik amat besar. Oleh itu, beliau diiktiraf sebagai seniman agung dan dianugerahkan pingat yang membawa Tan Sri. Sehingga kini, tiada seniman yang dapat menandingi P.Ramlee.
       

Monday 3 December 2012

KARANGAN JENIS BERITA

          Karangan jenis berita bertujuan untuk memberi maklumat, pengetahuan, atau hiburan kepada pembaca. Karangan berita perlu ditulis menggunakan bahasa yang mudah, padat, ringkas, dan tidak mempunyai banyak makna, elakkan penggunaan bahasa yang berbunga.      
          Karangan berita yang baik perlu ada beberapa maklumat asas yang ingin diketahui oleh pembaca. Berita yang ditulis perlu menjawab soalan-soalan seperti apa yang berlaku, di mana, bila, siapa, mengapa, dan bagaimanakah kesudahan atau akidatnya.
          Isi yang paling penting hendaklah didahulukan dan setiap isi ditulis dalam satu perenggan.


CONTOH KARANGAN JENIS BERITA

                                                 
Banjir Kilat di Pekan Panchor


MUAR,  30 November-Satu kejadian banjir  kilat  telah melanda Pekan Panchor, dekat sini petang tadi. Dalam kejadian itu, semua rumah dan kedai di pekan itu telah dinaiki air sedalam satu meter.

         Menurut seorang penduduk di situ, Encik Mahfudz b. Mohd. Yasin, air mula naik pada pukul 3 petang. Hujan lebat selama 4 jam telah menyebabkan air melimpah kerana longkang yang tersumbat.
Beliau berkata, sampah sarap yang tidak diurus dengan baik merupakan punca utama. Longkang-longkang yang tersumbat menyebabkan aliran air tersekat. Selain itu, pembangunan pesat di kawasan berhampiran turut menyebabkan tanah lumpur mengalir ke longkang.
         Kejadian itu mengakibatkan banyak harta benda telah rosak. Antaranya termasuklah perabot, barangan elektrik, kenderaan dan sebagainya. Tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan berlaku.
         Penduduk-penduduk melahirkan rasa kecewa atas kejadian yang berlaku itu. Mereka juga kesal dengan sikap pemaju projek berhampiran kerana tidakbertanggungjawab.
         Mereka berharap pihak berkuasa tempatan segera mengambil tindakan supaya kejadian itu tidak berulang lagi. 

        

CONTOH KARANGAN JENIS PERIBAHASA

''Gengam Bara Api, Biar Sampai Jadi Arang''. Tulis suatu karangan yang lengkap bagi menggambarkan peribahasa ini.

          ''Gengam Bara Api, Biar Sampai Jadi Arang'' membawa maksud melakukan sesuatu kerja hendaklah sehingga selesai dan membuahkan hasil. Begitulah yang berlaku kepadaAzim, seorang anak muda yang gigih mengusahakan ternakan air tawar. 
          Azim berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dari sebuah sekolah luar bandar. Peluang kerja yang terhad di pasaran menyebabkan dia menyahut seruan kerajaan dengan menyertai ''Program Siswa Tani'' walaupun ramai antara kawannya kurang yakin akan bidang pertanian.
          Azim dengan dibantu oleh adik dan tiga rakannya mengorak langkah membuka kolam ternakan di  tanah pusaka ayahnya berbekalkan maklumat dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang menghadiri ''Program Siswa Tani'' tersebut. Pada permulaan, usahanya memang menghadapi banyak cabaran. Ternakannya banyak mati, musim kemarau, dan cemuhan orang kampung adalah antara dugaan paling berat ditempuhinya. Namun, dengan bantuan Jabatan Penternakan, ternakannya berjaya diselamatkan.
          Selepas enam bulan, ada antara ternakannya yang telah dipasarkan dan pulangannya agak lumayan diperoleh oleh Azim. Hasil jualan tersebut digunakan untuk membeli lebih banyak peralatan moden untuk kegunaan ternakannya dan selebihnya disimpan untuk dijadikan modal membesarkan kolam ternakannya nanti.
          Azim juga sentiasa menambah pengetahuannya dalam bidang ternakan serta membuat penyelidikan tentang ternakannya daripada pelbagai sumber. Selain itu, beliau juga membuat tinjauan tentang permintaan ternakan oleh masyarakat. Iklan juga digunakan untuk menarik perhatian pengusaha pasar tani untuk mendapatkan bekalan dari ternakannya.
          Kini, Azim boleh bernafas lega kerana keputusannya menceburi bidang sektor ternakan tidak sia-sia. Sesuailah dengan peribahasa ''Gengam Bara Api, Biar Sampai Jadi Arang''.

Sunday 2 December 2012

contoh-contoh peribahasa



Peribahasa
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Menurut Za'baperibahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran,sedap didengar dan bijak perkataannya.
Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan seharian atau secara bercetaksebelum tarikh kemerdekaan.
Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sabahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu. Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan, yang membina minda. Tetapi pada masa kini, pelbagai peribahasa dicipta yang memaksa pelajar-pelajar menghafalkan seberapa banyak peribahasa seperti robot. Menurut Kamus Dewan edisi Keempat (2005:1185) makna peribahasa bermaksud ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu, bidal, pepatah. Contoh-contoh Peribahasa seperti Simpulan Bahasa, Perumpamaan, Pepatah, Bidalan , Perbilangan, dan Kata Hikmat. Di bawah diberikan contoh-contoh Peribahasa Melayu yang lazim ditemui dalam Pelajaran Bahasa Melayu
Sekolah Rendah.
 Contoh Simpulan Bahasa
Ayam yang tangkas di gelanggang.
Orang yang pandai berkata-kata di dalam majlis.
Bau-bau bacang
tali persaudaraan yang jauh
Durian runtuh
keuntungan yang diperoleh dengan tidak disangka-sangka.
kacang hantu
orang yang jahat dan suka menganggu orang lain.
makan suap.
menerima rasuah.
rambang mata
sukar membuat pilihan
Contoh-contoh Perumpamaan:-
1. Bagai aur dengan tebing maksudnya tolong-menolong antara satu sama lain
2. Bagai bunyi cempedak jatuh maksudnya bunyi jatuh yang kuat
3. Bagai itik pulang petang maksudnya berjalan dengan lambat sekali
4. Bagai kumbang putus tali maksudnya amat cepat,terlepas dari sengsara.
5. seperti pungguk rindu akan bulan maksudnya mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin diperoleh.

Contoh-contoh Pepatah:-
1. Biar putih tulang jangan putih mata maksudnya rela mengorbankan nyawa daripada menanggung malu
2. Harapkan pagar, pagar makan padi maksudnya percaya akan orang yang mengkhianati kita
3. Ditelan mati emak, diluahkan mati bapa maksudnya susah memilih kerana kedua-dua pilihan sama penting.
4. Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah maksudnya orang besar-besar berselisih, rakyat
yang menderita
5. Buang yang keruh, ambil yang jernih maksudnya buang yang jahat, ambil yang baik

Contoh-contoh Bidalan:-
1.Adat periuk berkerak, ada lesung berdedak (Jika ingin hidup mewah mestilah berusaha)
2. Belum duduk sudah berlunjur (belum memperoleh sesuatu yang dihajati tetapi sudah berasa gembira)
3. Berfikir sebelum berkata, berunding sebelum dibuat (berfikir baik-baik dahulu kemudian baru bertindak)
4. Berkaul pda keramat (meminta sesuatu hendaklah kena pada tempatnya)
5. Bertanjak baharu tinjau (membuat kerja mengikut aturan)

Contoh-contoh Perbilangan:-
1.        Adat bersendi hukum
           Hukum bersendi kitabullah
           Kuat adat, tak gaduhkan hukum
           Kuat hukum tak gaduhkan adat
           Ikut hukum, muafakat
           Ikut adat, muafakat.

2.        Raja menobat di dalam alam
           Penghulu menobat di dalam luak
           Lembaga menobat di dalam lingkungannya
           Orang banyak menobat dI dalam teratak.

Contoh-contoh Kata Hikmat;-
1. Bahasa menunjukkan bangsa
2. Bersatu teguh, bercerai roboh
3. Maju bangsa maju negara
4. Jangan pandang orang yang berkata, pandang apa yang ia kata
5. Kita mesti menanti waktu, waktu tidak menanti kita



Saturday 1 December 2012

KERTAS 2 PERCUBAAN BAHASA MELAYU 2012

Assalamualaikum..

Dengan izin Allah SWT saya menaip lagi.
Kali ini saya ingin memasukkan link-link dimana membolehkan para pelajar memuat turun soalan-soalan percubaan Bahasa Melayu UPSR.

SILA KLIK LINK DI BAWAH UNTUK MEMUAT TURUN MENGIKUT NEGERI SEMENANJUNG MALAYSIA SAHAJA. TIDAK TERMASUK SABAH & SARAWAK.

               > JOHOR
               > MELAKA
               > NEGERI SEMBILAN
               > WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
               > PERAK
               > PULAU PINANG
               > KEDAH
               > KELANTAN
               > TERENGGANU
               > PAHANG

Terima Kasih.

KERTAS 1 PERCUBAAN BAHASA MELAYU UPSR 2012

Assalamualaikum ...
Selamat Datang ke Laman Kertas 1 Bahasa Melayu UPSR

Dibawah disertakan beberapa link yang terus merujuk ke soalan-soalan percubaan Bahasa Melayu UPSR mengikut tahun dan negeri. Dimana anda boleh memuat turun kandungan link terus ke komputer anda. Kertas 1 Pemahaman Bahasa Melayu ini mengandungi 40 soalan di mana ia memuatkan soalan-soalan Tatabahasa sahaja.

SILA KLIK PADA LINK YANG ANDA  KEHENDAKI DIBAWAH INI

KERTAS SOALAN PERCUBAAN TAHUN 2012 SELURUH SEMENANJUNG MALAYSIA TIDAK TERMASUK SABAH & SARAWAK.


              
               > JOHOR
               > MELAKA
               > NEGERI SEMBILAN
               > WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
               > SELANGOR
               > PERAK
               > PULAU PINANG
               > KEDAH
               > KELANTAN
               > TERENGGANU
               > PAHANG

Terima Kasih.





Copyright Reserved by Efrine Q 2012