Thursday 20 December 2012

SAJAK USMAN AWANG


Guru Oh Guru
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

PANTUN MELAYU


KOLEKSI PANTUN MELAYU KLASIK


Tetak buluh panjang suluh 
Mari jolok sarang penyengat 
Angkat doa jari sepuluh 
Doa minta biar selamat 

Tuailah padi antara masak 
Esok jangan layu-layuan 
Intailah kami antara nampak 
Esok jangan rindu-rinduan 

Hendak dulang diberi dulang 
Dulang berisi sagu mentah 
Hendak pulang ku beri pulang 
Tinggalkan pantun barang sepatah 

Lancang kuning lancang pusaka 
Nampak dari Tanjung Puan 
Kalau kering laut Melaka 
Barulah saya lupakan tuan 

Asam kandis mari dihiris 
Manis sekali rasa isinya 
Dilihat manis dipandang manis 
Lebih manis hati budinya 

Ayam hutan terbang ke hutan 
Tali tersangkut pagar berduri 
Adik bukan saudara bukan 
Hati tersangkut kerana budi 

Ayam rintik di pinggir hutan 
Nampak dari tepi telaga 
Nama yang baik jadi ingatan 
Seribu tahun terkenang juga 

Bila memandang ke muka laut 
Nampak sampan mudik ke hulu 
Bila terkenang mulut menyebut 
Budi yang baik ingat selalu 

Kata-kata ulama/Madah Pujangga

Pahitnya Mata Dunia
Kerana Manisnya Syurga Tuhan

Kebahagiaan tertunda yang dibayar dengan pengorbanan selalunya terasa manis. Tidak ada satupun di dunia ini hasil karya sendiri. Anda mencapai tujuan anda selalunya berkat bantuan orang lain.

Seorang sufi bermadah,"Adakalanya kesalahan membuatkan sesaorang itu memperbaiki diri. Tidak pernah bersalah itu..... boleh mendatangkan sombong diri.. oleh itu tidakkah beruntung mencuba biarpun terpaksa berbuat salah daripada pasrah yang tidak menentu"

Ulamak mursyid berkata,"Buah akal ialah ilmu pengetahuan.. buah jiwa ialah iman.. buah fizikal ialah kemajuan.. alangkah indahnya kalau ketiga tiga anggota ini melahirkan buah dalam kehidupan".

Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Perumpamaan orang mukmin dalam hal saling mencintai.. saling mengasihi dan saling menyayang bagaikan sebuah tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh terasa sakit.. maka seluruh tubuh akan merasa sakit.. tidak dapat tidur dan terasa demam".

 Kalau hati itu bersih.
Seorang ulamak berkata,
"Pandangan mata selalu menimpa..pandangan akal selalu tersalah.. pandangan nafsu selalu melulu dan pandangan hati lah yang hakiki.. kalau hati itu bersih".

Pohon syurga.
Rasulullah s.a.w bersabda,"Sesungguhnya di dalam syurga ada sebatang pohon dimana orang berkenderaan berjalan dibawah naungannya selama satu tahun belum sampai melepasinya".

Kejelitaan akan pudar.
Seorang ulamak berkata,
"Kemudaan akan hilang.. kecantikan akan pudar.. kekuatan akan lemah..tua akan datang.. kematian pun meragut secara tiba tiba. Jadi mengapa lupakan Tuhan??".

Mata yang beku.
Rasulullah bersabda,"Ada empat perkara yang membawa celaka..iaitu mata yang beku{taksudi mengeluarkan air mata) kesat hati.. panjang angan-angan dan tergoda oleh dunia".   
                                                                                   
Jika engkau mahukan kemesraan.
Seorang bijak pandai Islam berkata,

"Jika engkau mahukan kemesraan dengan Allah.. maka engkau mesti garang terhadap dirimu sendiri.. tidak mengikut segala nafsumu. Kalau engkau sudah merasakan manisnya berhubung dengan Allah.. tahulah engkau bagaimana pahitnya berpisah denganNYA".

Jangan cakap banyak.
Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Tinggalkan bicara berlebehan dan cukup bagimu perkataan apa yang telah dapat menyampaikan hajatmu".

Kata pemikir Islam, "Gunong yang tinggi tidak boleh menakung air.. tetapi lembah yang rendah boleh menjadi tasik yang saujana luasnya....... ertinya orang yang meninggi diri tidak jatuh hati orang kepadanya.. Sebaliknya orang yang merendah diri dapat meminta meminta hati orang tanpa bersusah payah lagi".

Belajar dengan buku.
Seorang ulama berkata,"Orang yang belajar dengan kehidupan mendapat pengalaman ..orang yang belajar dengan buku dan guru mendapat ilmu".



Fikiran bak mutiara.
Seorang ulama berkata,"Berfikir taraf tinggi itu ialah berfikir yang dipimpin oleh jiwa.. hasilnya fikirannya bak mutiara".


Istimewa diam. 
Nabi s.a.w. bersabda,
"Kawan yang baik lebih baik dari duduk sendiri dan duduk sendirian lebih baik dari kawan yang jahat dan mengutarakan kebaikkan lebih baik dari diam dan diam lebih baik dari berkata tidak baik". 


Jika Allah kasih.
Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Sesungguhnya jika Allah berkehendakkan kebaikan terhadap hambaNya, maka dijadikan dosa dosa terbayang diruang mata hambaNya dan jika menghendaki binasanya maka dilupakan akan dosa dosanya".

Tuesday 11 December 2012

SURAT KIRIMAN RASMI

Ciri-Ciri Surat Kiriman Rasmi

Karangan surat kiriman rasmi mempunyai format yang khusus seperti berikut:
a) Alamat pengirim - ditulis di bahagian atas, di penjuru sebelah kiri surat
b) Garis pemisah antara nama dan alamat pengirim, dengan bahagian lain surat
c) Nama dan alamat penerima ditulis di bawah garisan pemisah di sebelah kiri surat.
d) Tarikh - ditulis dengan huruf besar di sebelah kanan surat.
e) Panggilan hormat penerima seperti tuan,puan dan sebagainya, ditulis di sebelah kiri surat.
f) Tajuk Surat
g)Isi surat
h)Penutup
i) Pengakuan dan tandatangan - ditulis selang sebaris di bahagian bawah penjuru sebelah kiri surat

Contoh Surat  Rasmi

No. 14, Jalan Jaya 1/10,
Taman pagoh Jaya,
48600 Pagoh, Muar,
Johor.

____________________________________________________________________

Guru Penasihat,
Kelab Kebudayaan Dan Kesenian,
Sekolah kebangsaan Pekan Pagoh,
48600, Pagoh,
Muar, Johor                                                                                                         20 OGOS 2012

Puan,

Tidak Hadir Ke Kegiatan Kokurikulum

Dengan hormatnya perkara di atas dirujuk,

2.  Saya ingin memaklumkan kepada pihak puan bahawa saya tidak dapat menghadiri kegiatan kokurikulum yang akan diadakan pada 25hb Ogos ini kerana ingin ke Pejabat Pendaftaran Negara bagi memohon MyKad.

3.  Segala maklumat mengenai aktiviti yang dijalankan oleh persatuan pada hari tersebut akan saya dapatkan daripada ahli-ahli persatuan yang hadir.

4.  Saya berharap agar puan dapat mempertimbangkan dengan sewajarnya akan perkara ini

Sekian, terima kasih.

Yang benar,


Faris Mirza

(Muhammad Faris Mirza b. Adnan)
Ahli Kelab Kebudayaan Dan Kesenian

Tuesday 4 December 2012

KARANGAN JENIS CERITA

Karangan jenis cerita boleh ditulis berdasarkan khayalan, mimpi, pengalaman, ataupun kehidupan makhluk lain. cerita yang hendak disampaikan hendaklah mempunyai gambaran yang jelas dan diterima akal.
         Karangan yang ditulis juga hendaklah mempunyai nilai-nilai murni dan tidak boleh mempunyai unsur-unsur negatif.

KARANGAN JENIS CERITA


  MELAWAT MUZIUM NEGARA

           Pada hari Ahad yang lalu, saya dan rakan-rakan diiringi empat orang guru dari Sekolah Kebangsaan Semaseh telah melawat ke Muzium Negara. Kami bertolak pada pukul 8.00 pagi dengan menaiki sebuah bas.
          Saya dan rakan-rakan berasa gembira kerana kami dapat melihat pelbagai jenis barang yang dipamerkan di muzium ini.
          Setelah melawat beberapa bahagian di muzium ini, kami sampai di bahagian yang menunjukkan barangan purba dan bersejarah.
          Barangan-barangan yang dipamerkan disini menggambarkan perkembangan tamadun negara kita sejak zaman batu hingga sekarang.
          Di bahagian ini juga terletaknya arca Hang Tuah. Arca itu dibuat pada tahun 1962 oleh Puan Jenkins, seorang perempuan berbangsa Inggeris yang pernah bertugas di muzium ini.
          Kami bertolak pulang pada jam 5.00 petang. Lawatan ini banyak faedah kepada kami, termasuk pendedahan tentang sejarah perkembangan negara.

KARANGAN JENIS BIOGRAFI

          Karangan biografi menceritakan rentetan riwayat hidup manusia atau latar belakang seseorang yang ditulis oleh orang lain. Orang tersebut boleh menjadi seseorang tokoh yang masih hidup atau sudah meninggal dunia atau orang yang anda kenali.
          Latar belakang seseorang yang hendak ditulis biografinya sepatutnya anda kenali.

KARANGAN JENIS BIOGRAFI

                                                                P. RAMLE
          
          P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Putih dilahirkan di Kampung Jawa Pulau Pinang pada 21 Mac 1928. Ayahnya seorang keturunan bangsawan Acheh, Sumatra. Ibunya bernama Mak Mah.
          Nama P.Ramlee memang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Walaupun beliau sudah meninggal dunia pada tahun 1973, namanya selalu disebut dan dipuji oleh peminat seni.
          Sehingga kini, filemnya masih ditayangkan di televisyen dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Bakat P.Ramlee dalam bidang nyanyian dan muzik bermula sejak di bangku sekolah lagi. Pada waktu itu, beliau masih menuntut di Sekolah Inggeris Francis Light, Jalan Perak, Pulau Pinanag.
          P.Ramlee juga pernah belajar menyanyi dengan seorang ahli muzik yang sangat terkenal, iaitu Encik Kamarudin. Beliau berbakat dalam bermain piano dan biola.
          Sumbangan P.Ramlee dalam bidang seni lakonan dan muzik amat besar. Oleh itu, beliau diiktiraf sebagai seniman agung dan dianugerahkan pingat yang membawa Tan Sri. Sehingga kini, tiada seniman yang dapat menandingi P.Ramlee.
       
Copyright Reserved by Efrine Q 2012